Deja Moss masih boleh hamil

Posted by Admin



Sebelum ini, Deja berhadapan cabaran getir apabila disahkan doktor dia mengandung di luar rahim hingga kandungannya yang berusia enam minggu terpaksa dibuang menerusi pembedahan.

Ketika itu, doktor menasihatinya menjalani pembedahan demi memastikan kesihatan tidak terjejas.

Biarpun sedih kehilangan zuriat pertama hasil perkongsian hidup dengan Azfendy Azzuddin, Deja tetap bersyukur kerana mendapat sokongan suami.

Katanya, suami sentiasa memberi sokongan dan semangat kepadanya untuk meneruskan kehidupan. Selepas enam bulan berkahwin, mereka makin bahagia menjalankan tanggungjawab sebagai suami isteri.

Malah Deja, 36, yang kelihatan bertambah sihat tidak mahu duduk diam di rumah sebaliknya memenuhi masa dengan aktiviti seni.

“Doktor memberi nasihat pada saya agar berehat hingga empat bulan sebelum bersedia kerja semula. Bagaimanapun, apabila saya rasa bertambah sihat, saya yakin untuk kembali bekerja. Buat masa ini, kesihatan saya makin baik.

“Doktor juga mengatakan saya masih mempunyai berpeluang mengandung lagi selepas habis tempoh empat bulan saya berehat. Dalam pada itu, saya juga kerap berjumpa doktor sekurang-kurangnya dua minggu sekali untuk mendapatkan pemeriksaan lanjutan.

“Bagi saya, apa yang saya lalui ini adalah ujian paling besar yang perlu saya tempuh dengan tabah dan banyak bersabar. Seperti pasangan suami isteri lain, saya juga masih berkeinginan untuk menimang cahaya mata.

“Walaupun satu saluran tiub fallopia di sebelah kiri sudah dibuang, kami masih berharap saluran tiub satu lagi memberi peluang kepada kami untuk mendapatkan anak,” katanya.

Sumber myMetro


Entri Yang Berkaitan:



0 comments:

Post a Comment