Joe Flizzow dan The President

Posted by Admin



"Ini bukan album percubaan atau album yang lahir atas rasa kecewa terhadap perjalanan naik dan turun Too Phat selama ini. Ini ialah album tentang keinginan dan idea sendiri"


Joe Flizzow tampak berbeza dalam penampilannya kali ini. Dia segak berkot. Tiada seluar besar atau gaya hip hop 'bling-bling'. Imej Joe Flizzow kini nampak matang. Ia bagai menterjemahkan maksud pada album solo perdananya, The President. "Saya tak kisah kalau sesekali pakai kot. Lagipun tahun ini saya sudah 30 tahun," katanya.

Kemudian dia pantas menyatakan, album The President tiada kaitan dengan identiti Presiden Amerika, Barack Obama. "Saya hampir-hampir menukar tajuk album ini selepas Obama menang," katanya sambil ketawa.

Sebaliknya The President yang diilhamkan tahun lalu sewaktu hampir kesemua negara di dunia menjalani pilihan raya umum didefinisikan sebagai mahu membina empayar sendiri dalam kepakarannya sebagai penyanyi hip hop.

Bagaimanapun, tegas Joe: "Saya tidak kata saya presiden hip hop atau rap dan sebagainya. Tapi saya melihat ia dari sudut pengaruh dalam satu gelombang yang kemudian orang mendengar kita."

Menggunakan duit sendiri untuk menggarapnya, kata Joe, album dengan 14 buah lagu itu adalah terjemahan rasa sepanjang dia bergerak secara solo selepas teman duonya dalam Too Phat, Malique, membawa haluan sendiri beberapa tahun lalu.

Biarpun sukar membuang imej Too Phat iaitu Malique dan Joe, kata jejaka ini, kelahiran The President menggambarkan keinginan dalam kehidupannya.

"Ini bukan album percubaan atau album yang lahir atas rasa kecewa terhadap perjalanan naik dan turun Too Phat selama ini. Ini ialah album tentang keinginan dan idea sendiri. Maka lahirlah The President.

"Malah album ini cukup berbeza dengan album-album Too Phat termasuk dari segi produksi di mana saya bekerja dengan karyawan yang tidak pernah terlibat dalam album Too Phat dulu.

"Kemudian, berbanding album Too Phat, saya menggunakan jenis drum 808 yang tidak pernah kami gunakan dulu dalam 10 buah lagu solo saya.

"The President juga boleh dianggap sebagai album komersial dance, house music dan pop. Saya klasifikasikan album ini sebagai relevan serta berada dalam pasaran yang betul," hujah Joe yang menghantar album ini ke SoundCubed Studios dan Grundman Mastering di Hollywood, California, Amerika Syarikat untuk sesi mastering.

Usai berbicara tentang album solonya, Joe yang diusik mempunyai iras wajah ikon hip hop Hollywood, Jay Z, ketawa besar. Sambil mengakui wajahnya mempunyai iras rapper tersebut, Joe enggan dilabelkan sebagai Jay Z Malaysia.

Katanya: "Saya tahu dia hebat. Tapi satu hari nanti, jika ada kesempatan bertemu Jay Z, saya mahu dia tahu saya ialah Joe Flizzow yang juga punya keistimewaan sendiri."


Entri Yang Berkaitan:



0 comments:

Post a Comment